Siri 10-Bayaran yang perlu dibayar oleh pembeli
 
 
 
 
Akta Menjaga Kepentingan Pembeli

 

Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) berkuatkuasa pada 29.8.1969 manakala Peraturan Pemaju Perumahan pula berkuatkuasa pada 1.4.1989. Akta dan Peraturan ini diwujudkan untuk menjaga kepentingan pembeli-pembeli rumah. Ia terpakai di Malaysia Barat sahaja (tidak meliputi pemajuan perumahan oleh pertubuhan-pertubuhan koperasi, badan/agensi Kerajaan dan pembinaan unit komersial seperti hotel, premis perniagaan).

Pengawasan dan penguatkuasaan Akta dan Peraturan ini dilaksanakan oleh Bahagian Pengawasan dan Penguatkuasa, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang terletak di Tingkat 4, Blok K, Pusat Bandar Damansara, 50782 Kuala Lumpur.

Semua pengawasan dan penguatkuasaan Akta dan Peraturan ini dikendalikan oleh Pengawal Perumahan, Inspektor Perumahan serta pegawai-pegawai pengkhidmat lain yang dilantik oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bahagian ini membuat pengawasan projek perumahan dari masa ke semasa bagi memastikan :-)

  1. projek-projek perumahan yang telah diberi Lesen Pemaju Perumahan oleh Pengawal Perumahan berjalan dengan lancar dan mengikut jadual;
  2. pemaju melaksanakan tanggungjawab mengikut Akta/Peraturan seperti mempunyai Lesen Pemaju Perumahan, mempunyai Permit Iklan dan Jualan, Akaun Pemaju Perumahan diselenggara dengan betul, keseragaman Surat Perjanjian Jual dan Beli (SPJB) mengikut Peraturan SPJB di Jadual G (tanah dan bangunan) seperti rumah banglo, rumah teres, rumah berkembar (semi-D) dan Jadual H (bangunan pecah bahagi) seperti rumah pangsa (flat), apartment, kondominium dan rumah bandar (town house).
Pengawasan projek dilakukan melalui:-
  1. Pemeriksaan dan kajian laporan yang diterima daripada pemaju berdasarkan borang 7(f) Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 yang mesti dihantar oleh pemaju ke Bahagian Pengawasan dan Penguatkuasa 2 kali setahun;
  2. Pemeriksaan pemajuan projek di tapak projek dan juga pejabat pemaju. Pemeriksaan ini merangkumi kepada pengiklanan, kemajuan projek, bayaran/kutipan wang oleh pemaju, Akaun Pemaju Perumahan, SPJB dan lain-lain yang berkaitan. Pemaju tidak boleh mengubah atau memasukkan peruntukan baru atau membatalkan mana-mana peruntukan dalam SPJB tanpa kelulusan Pengawal Perumahan;
  3. Semakan iklan yang dikeluarkan oleh pemaju melalui surat khabar, brosur, papan tanda atau lain-lain cara, sama ada ianya mengikut peraturan atau sebaliknya; dan
  4. Pengawasan projek-projek berdasarkan kepada maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai sama ada secara bertulis, telefon, e-mel atau juga melalui massa media.
Dari segi penguatkuasaan pula, Bahagian Pengawasan dan Penguatkuasaan akan mengambil tindakan termasuk mendakwa pemaju yang tidak mematuhi Akta/Peraturan. Contoh pendakwaan di bawah Akta adalah seperti pemaju tidak mempunyai Lesen Pemaju Perumahan yang mengerja, menjalan/mengusaha atau menyebabkan usaha pemajuan perumahan, pemaju yang melanggari tugas-tugas pemaju perumahan berlesen, kegagalan pemaju perumahan berlesen membuka dan menyelenggara Akaun Pemajuan Perumahan dan lain-lain yang berkaitan. Kesalahan-kesalahan pemaju yang menjalankan pemajuan perumahan/menjalankan perniagaan tanpa lesen boleh dikenakan denda hingga RM100,000.00 atau penjara hingga 5 tahun atau kedua-duanya. Begitu juga kesalahan tidak membuka Akaun Pemaju Perumahan boleh didenda dengan jumlah yang sama atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya. Kesalahan-kesalahan lain boleh dikenakan denda hingga RM10,000.00 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali (tertakluk kepada peruntukan seksyen kesalahan).

Akta ini juga memberi kuasa kepada Menteri untuk memberi arahan kepada pemaju bagi maksud melindungi kepentingan pembeli. Pengawal Perumahan pula boleh membatalkan dan menggantung lesen pemaju perumahan berlesen daripada menjalankan perniagaannya jika pada pendapat Pengawal, pemajuan perumahan tersebut memudaratkan kepentingan pembeli-pembeli atau mana-mana orang awam.

Pembeli sebelum membeli rumah perlu memastikan pemaju tersebut mempunyai LESEN PEMAJU PERUMAHAN dan PERMIT IKLAN DAN JUALAN. Sekiranya pembeli meragui maklumat yang diberikan sila hubungi Bahagian Pengawasan Penguatkuasa melalui surat atau E-mel (enforcement@kpkt.gov.my). Siri akan datang akan datang akan dijelaskan secara terperinci.

 


Hakcipta Terpelihara © btmKPKT