BAHAGIAN 2(b): PEMEGANG PAJAK GADAI
Hak-hak Pengguna yang perlu diketahui dalam urusan lelongan awam Pemegang Pajak Gadai (PPG) dan kesalahan yang sering dilakukan oleh Pemegang Pajak Gadai.
S: Adakah Pengguna / Pemajak akan dimaklumkan oleh PPG sekiranya sandaran mereka hendak dilelong?
J: Pengguna / Pemajak perlu dimaklumkan oleh PPG melalui surat berdaftar berkenaan tujuan untuk melelong sandaran yang tidak ditebus semula sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh lelongan.
S: Bila dan dimanakah biasanya tempat lelongan dijalankan?
J: Setiap lelongan hendaklah dijalankan ditempat dan masa yang diluluskan oleh KPKT dalam tempoh 7 hari pertama sesuatu bulan.
S: Adakah terdapat sebarang wakil dari Kementerian semasa lelongan dijalankan?
J: Setiap lelongan hendaklah dijalankan serta disaksikan oleh seorang Inspektor PPG yang dilantik dari Kementerian ini.
S: Apakah yang akan terjadi sekiranya terdapat lebihan lelongan daripada jumlah pinjaman yang dibuat oleh Pengguna / Pemajak?
J : Semua lebihan lelongan (jika ada) hendaklah diserahkan kepada pemajak (setelah ditolak kadar faedah). Satu notis melaui surat berdaftar hendaklah dihantar kepada pemajak bagi memaklumkan perkara ini dalam tempoh 7 hari selepas lelongan selesai.
S: Bagaimanakah Pengguna / Pemajak boleh membuat tuntutan berkenaan lebihan nilai tersebut?
J: Pengguna / Pemajak boleh menuntut lebihan lelongan tersebut (jika ada) kepada PPG terlibat dalam tempoh 4 bulan selepas lelongan dengan membawa bersama surat pajak gadai dan kad pengenalan bagi urusan tuntutan.
S: Adakah orang awam dibenarkan untuk membida semasa lelongan dijalankan dan apakah syaratnya?
J: Pelanggan atau orang awam adalah dibenarkan sekiranya berminat untuk menjadi pembida dalam setiap lelongan dengan syarat setiap tatacara dan keperluan sebagai pembida yang ditetapkan oleh pelelong perlu dipatuhi iaitu menyerahkan salinan kad pengenalan mereka dan mengemukakan sejumlah wang deposit.
S: Apakah hak Pengguna / Pemajak selepas lelongan dijalankan?
J : Pengguna / Pemajak berhak untuk menyemak buku rekod lelongan sandaran daripada PPG dalam tempoh 4 bulan dari tarikh lelongan.
S: Berapakah harga rizab untuk setiap sandaran yang hendak dilelong?
J : Harga rizab bagi setiap sandaran yang hendak dilelong adalah 10% melebihi daripada jumlah nilai yang dipinjamkan kepada Pengguna/ pemajak.
S: Apakah kesalahan-kesalahan yang biasa dilakukan oleh PPG?
J : Antara beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh PPG adalah :
|
i) Tidak menghantar notis memaklumkan tentang lelongan kepada pelanggan (jika sandaran tidak dituntut setelah tamat tempoh);
ii) Menjalankan perniagaan PPG tanpa memperolehi lesen yang sah daripada KPKT;
iii) Enggan membenarkan pelanggan memeriksa buku rekod lelongan;
iv) Mengenakan kadar faedah bulanan melebihi 2% sebulan iaitu nilai yang dibenarkan;
v) Enggan membenarkan pelanggan menebus semula sandaran tanpa sebarang sebab yang dibenarkan;
vi) Tidak berbudi bahasa semasa mengendalikan perniagaan;
vii) Menjalankan urusniaga jual dan beli surat pajak gadai;
viii) Tidak melindungi sandaran yang dipajak dengan insurans keselamatan dari sebarang risiko apda setiap masa;
ix) Enggan bertanggungjawab atau membayar nilai gantirugi rendah jika sandaran yang dipajak rosak, musnah atau dicuri;
x) Mengenakan caj-caj lebihan kepada pemajak;
xi) Tidak memberikan sebarang resit bagi setiap pembayaran yang dibuat oleh pemajak;
|
Dikemaskini pada 25/03/2010
Jumlah capaian kepada laman ini: 1645