Tetapan Semula Menukar kontras kepada cerahMenukar kontras kepada asalMenukar kontras kepada gelapKecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T
w3c
logo-kpkt
Laman Web Rasmi

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

www.kpkt.gov.my

faq-img

Soalan
Lazim

gap-line

hubungi-kami

Hubungi
Kami

gap-line

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

gap-line

peta-laman

Peta
Laman

Soalan Lazim - Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah

   
 
 
Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) merupakan Tribunal di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang terdiri daripada:
 
i.   Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) yang ditubuhkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118]; dan
ii.  Tribunal Pengurusan Strata (TPS) yang ditubuhkan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].
   
   
   
1. Apakah bidang kuasa TTPR?
   
  Bidang kuasa TTPR adalah terhad kepada suatu tuntutan yang berbangkit daripada perjanjian jual beli di antara pembeli rumah dan pemaju perumahan. TTPR hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes-kes di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja
   
   
2. Apakah jenis rumah / tempat tinggal / kediaman yang termasuk dalam bidang kuasa TTPR?
   
  Rumah (contohnya teres, semi-detached, banglo, pangsapuri, kondominium, townhouse, SOHO dan sebagainya) dan bukannya bangunan perniagaan (Commercial Building).
     
     
3. Apakah jenis tuntutan yang boleh difailkan di TTPR?
   
  Terdapat dua (2) jenis tuntutan yang boleh difailkan di TTPR iaitu:
   
  i. Tuntutan Teknikal 
   
  • Kecacatan mutu kerja (contoh: cat tidak kemas, dinding beralun dsb)
   
  • Kecacatan bahan binaan
   
  • Rumah tidak dibina mengikut pelan dan spesifikasi seperti yang dinyatakan dalam perjanjian jual dan beli
     
  ii. Tuntutan Bukan Teknikal
   
  • Ganti rugi kelewatan penyerahan milikan kosong (Liquidated Ascertained Damages (LAD))
   
  • Pemulangan deposit
   
  • Lain-lain tuntutan yang berbangkit daripada perjanjian jual dan beli
     
     
4. Apakah jenis tuntutan yang berada di luar bidang kuasa dan tidak boleh difailkan di TTPR?
   
  i. Projek terbengkalai
  ii. Fitnah (defamation)
  iii. Kecuaian
  iv. Penipuan oleh ejen hartanah
  v. Mendapatkan kembali tanah / estet
  vi. Pertikaian berkaitan hak di bawah wasiat / kematian tidak berwasiat
  vii. Pertikaian berkaitan nama baik (goodwill)
  viii. Pertikaian berkaitan rahsia perniagaan (trade secret) atau hak harta intelek yang lain
  ix. Pertikaian antara pemilik rumah dengan penyewa
  x. Pertikaian berkenaan perkhidmatan yang diberikan oleh peguam yang menguruskan urusan jual beli rumah
  xi. Kesilapan rekabentuk (design fault) oleh perunding pemaju
  xii. Pertikaian berkenaan kesahihan (validity) Perakuan Siap dan Pematuhan
     
   
5. Bolehkah isu yang sama difailkan di TTPR dan di Mahkamah Sivil?
   
  Tidak boleh kerana hanya satu forum yang boleh mendengar dan memutuskan kes pada satu-satu masa.
     
     
6. Bolehkah suatu tuntutan difailkan di TTPR jika tuntutan bagi isu yang sama telah didengar / dibicarakan dan diputuskan oleh Mahkamah Sivil?
   
  Tidak boleh.
   
 
     
7. Bolehkah suatu tuntutan yang telah dibuat keputusan oleh TTPR difailkan semula di TTPR atas isu yang sama?
   
  Tidak boleh.
     
     
8. Berapakah had maksimum nilai tuntutan di TTPR?
   
  Jumlah maksimum yang boleh dituntut ialah RM 50,000.00 bagi setiap tuntutan.
     
     
9. Bolehkah suatu tuntutan yang melebihi RM 50,000.00 difailkan di TTPR?
   
  Tidak boleh melainkan pembeli dan pemaju perumahan telah bersetuju secara bertulis bahawa TTPR mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan yang melebihi RM 50,000.00 tersebut.
     
     
10. Apakah tempoh masa untuk memfailkan tuntutan di TTPR?
   
  i.
 
Tuntutan LAD dan lain-lain tuntutan yang berbangkit daripada perjanjian jual dan beli hendaklah difailkan tidak melebihi 12 bulan dari tarikh pengeluaran Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance (CCC)
  ii.
 
Tuntutan teknikal hendaklah difailkan tidak melebihi 12 bulan dari tarikh tamat tempoh tanggungan kecacatan (Defect Liability Period (DLP) seperti yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli
  iii. Lain-lain tuntutan berkaitan perjanjian jual beli yang ditamatkan sebelum tarikh pengeluaran CCC hendaklah difailkan tidak melebihi 12 bulan dari tarikh penamatan perjanjian jual beli.
     
     
11. Adakah TTPR mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan dan mengenakan hukuman bagi kesalahan jenayah kerana tidak mematuhi award yang dikeluarkan oleh TTPR di bawah Akta 118?
   
  Tidak. Sebarang siasatan bagi kesalahan jenayah tidak mematuhi award adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan jika terdapat sebarang pendakwaan berkenaan kesalahan jenayah, hanya Mahkamah Jenayah sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan dan mengenakan hukuman.
     
     
12. Bagaimanakah pengiraan bagi tuntutan ganti rugi kelewatan penyerahan milikan kosong (LAD)?
  Cara pengiraan adalah jumlah hari kelewatan penyerahan x kos rumah x 10% dibahagikan dengan 365 hari. Sebagai contoh, jika rumah berharga RM300,000.00 dan jumlah hari kelewatan penyerahan rumah selama 100 hari, pengiraan LAD adalah seperti yang berikut:


Contoh:    100 hari x RM 300,000.00 x 10%    =    RM 8,219.18
                    365
 
     
13. Apakah jenis borang yang diguna pakai di TTPR?
   
  a. Borang Butiran TTPR
  b. Borang Senarai Tuntutan Teknikal
  c. Borang 1 – Pernyataan Tuntutan
  d. Borang 2 – Pernyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas
  e. Borang 3 – Pembelaan Kepada Tuntutan Balas
  f. Borang 4 – Notis Pendengaran
  g. Borang 5 – Award Bagi Pihak Yang Menuntut Jika Penentang Tidak Memfailkan Pernyataan Pembelaan
  h. Borang 6 – Award Jika Responden Mengakui Tuntutan
  i. Borang 7 – Award Bagi Penentang Jika Pihak Yang Menuntut Tidak Hadir
  j. Borang 8 – Award Bagi Pihak Yang Menuntut Jika Penentang Tidak Hadir
  k. Borang 9 – Award Dengan Persetujuan
  l. Borang 10 – Award Selepas Pendengaran
  m. Borang 11 – Saman Kepada Saksi
  n. Borang 12 – Permohonan Untuk Mengetepikan Award
     
     
14. Apakah prosedur untuk memfailkan tuntutan di TTPR?
   
  Pemfailan tuntutan di TTPR dimulakan dengan pembeli rumah yang memulakan tuntutan yang dinamakan Pihak Yang Menuntut. Berikut adalah prosedur pemfailan tuntutan oleh Pihak Yang Menuntut:
     
  Pemfailan Borang 1
   
  i.
 
Pembeli rumah boleh mendapatkan Pernyataan Tuntutan (Borang 1) dan Borang Butiran TTPR di kaunter TPPS, KPKT atau memuat turun kedua-dua borang daripada laman sesawang KPKT.
  ii. Borang 1 hendaklah diisi dan dilengkapkan dalam 4 salinan.
   
  • Nama, nombor kad pengenalan dan alamat surat menyurat Pihak Yang Menuntut dan Penentang hendaklah diisi dengan lengkap, jelas dan betul.
   
  • Butir-butir tuntutan dan amaun tuntutan hendaklah dinyatakan dalam Borang 1.
   
  • Keempat-empat salinan Borang 1 hendaklah ditandatangani atau dicap ibu jari oleh pembeli rumah.
  iii. Borang Butiran TTPR hendaklah diisi dan dilengkapkan dalam 1 salinan.
   
  • Nama, alamat surat menyurat Pihak Yang Menuntut dan Penentang serta alamat premis tuntutan, nombor telefon dan alamat emel pihak yang menuntut dan pihak penentang hendaklah diisi dengan lengkap, jelas dan betul.
     
  iv. Dokumen-dokumen berikut hendaklah disertakan dengan Borang 1.
    a. Tuntutan bukan teknikal
   
  • satu salinan perjanjian jual beli
   
  • satu salinan surat penyerahan milikan kosong
   
  • satu salinan perakuan siap dan pematuhan (CCC)
   
  • satu salinan dokumen-dokumen yang berkaitan
     
    b. Tuntutan Teknikal
   
  • satu salinan perjanjian jual beli
   
  • satu salinan surat penyerahan milikan kosong
   
  • satu salinan perakuan siap dan pematuhan (CCC)
   
  • 3 salinan sebut harga pembaikan daripada kontraktor / badan yang diiktiraf
   
  • 3 salinan borang senarai tuntutan teknikal
   
  • 3 salinan gambar kerosakan / kecacatan yang berwarna
   
  • 3 salinan Notis Pertama dan Notis Kedua kepada pemaju mengenai kerosakan / kecacatan
     
  v. Pembeli rumah hendaklah memfailkan 4 salinan Borang 1 berserta Borang Butiran TTPR dan dokumen sokongan melalui 2 kaedah:
     
    a. Pemfailan di Kaunter TPPS, KPKT bersama dengan fi pemfailan sebanyak RM10.00 dalam bentuk wang tunai / bank draf / kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T. Bayaran melalui cek peribadi tidak akan diterima.
     
    b. Pemfailan juga boleh dibuat dengan menghantar Borang 1 melalui Pos bersertakan dengan fi pemfailan RM10.00 dalam bentuk bank draf / kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T. Bayaran melalui cek peribadi tidak akan diterima.
*Pihak Yang Menuntut hendaklah mengisikan nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T pada bank draf / kiriman wang sebelum pengeposan.
     
    *AMBIL PERHATIAN bahawa TTPR tidak menerima wang tunai melalui pos.
     
     
15. Apakah proses seterusnya setelah Borang 1 difailkan?
   
  i. TTPR akan memeteraikan Borang 1 dengan meterai TTPR dan akan meletakkan tarikh dan menandatangani Borang 1
     
  ii. 3 salinan Borang 1 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada Pihak Yang Menuntut.
   
  • Satu salinan Borang 1 untuk salinan Pihak Yang Menuntut
   
  • Satu salinan Borang 1 untuk Pihak Yang Menuntut serahkan kepada Pihak Penentang.
   
  • Satu salinan Borang 1 untuk Pihak Yang Menuntut serahkan kepada Pembiaya (Bank).
     
  iii. Notis Pendengaran (Borang 4) akan dikeluarkan kepada Pihak Yang Menuntut. Borang 4 tersebut akan menyatakan tarikh, masa dan tempat pendengaran.
     
     
16. Apakah kaedah penyerahan Borang 1 yang telah dimeterai oleh TTPR kepada Penentang?
   
  Pihak Yang Menuntut perlu menyerahkan Borang 1 yang telah dimeterai oleh TTPR kepada Penentang. Pihak Yang Menuntut boleh menyerahkan Borang 1 kepada Penentang melalui kaedah-kaedah berikut:
   
  i.
 
Meninggalkan Borang 1 dengan pengarah / pengurus / setiausaha / pegawai lain seumpamanya dalam pertubuhan perbadanan / firma. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah gambar Borang 1 ditinggalkan di pertubuhan perbadanan / firma.
     
  ii.
 
Memberikan Borang 1 kepada pengarah / pengurus / setiausaha / pegawai lain seumpamanya dalam pertubuhan perbadanan / firma. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah tandatangan bersama cop penerimaan pertubuhan perbadanan / firma atau cop penerimaan pertubuhan perbadanan / firma.
     
  iii.
 
Mengeposkan Borang 1 kepada Penentang menggunakan pos berdaftar prabayar yang dialamatkan kepada pertubuhan perbadanan / firma (pengarah / pengurus / setiausaha / pegawai lain seumpamanya) di pejabat berdaftar pertubuhan perbadanan / firma atau di alamat penyerahannya. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah bukti pengeposan.
     
     
17. Apakah yang perlu dilakukan oleh Penentang apabila menerima Borang 1?
   
  Dalam tempoh 14 hari dari tarikh Penentang menerima Borang 1, Penentang hendaklah memfailkan Pernyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas (Borang 2) dalam 4 salinan di TTPR. Pemfailan Borang 2 boleh dilakukan melalui 2 kaedah seperti yang berikut.
     
  Pemfailan Borang 2
     
  a.
 
Pemfailan di Kaunter TPPS, KPKT bersama dengan fi pemfailan sebanyak RM10.00 dalam bentuk wang tunai / bank draf / kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T. Bayaran melalui cek peribadi tidak akan diterima
     
  b.
 
Pemfailan juga boleh dibuat dengan menghantar Borang 2 melalui Pos bersertakan dengan fi pemfailan RM10.00 dalam bentuk bank draf / kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T. Bayaran melalui cek peribadi tidak akan diterima.
     
    *Penentang hendaklah mengisikan nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T pada bank draf / kiriman wang sebelum pengeposan.
     
    *AMBIL PERHATIAN bahawa TTPR tidak menerima wang tunai melalui pos.
     
18. Apakah proses seterusnya setelah Borang 2 difailkan?
   
  i. TTPR akan memeteraikan Borang 2 dengan meterai TTPR dan akan meletakkan tarikh dan menandatangani Borang 2.
     
  ii. 2 salinan Borang 2 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada Penentang.
   
  • Satu salinan Borang 2 adalah salinan Penentang.
   
  • Satu salinan Borang 2 untuk Penentang serahkan kepada Pihak Yang Menuntut.
     
     
     
     
Seterusnya >>
     
     

Kemaskini pada 2023-01-20 11:21:07 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page