1. Dimanakah pengguna boleh membuat aduan berkenaan aktiviti Pemberi Pinjam Wang?
Sebarang aduan berkaitan Pemberi Pinjam Wang berlesen boleh dikemukakan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman web https://kpkt.spab.gov.my atau pengadu boleh hadir ke Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKK), KPKT, Aras 22, No. 51, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya.
Bagi Pemberi Pinjam Wang tanpa lesen, aduan berkenaan dengan perkara tersebut boleh dikemukakan terus kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
2. Apakah hak-hak peminjam?
(a) Setiap peminjam hendaklah diberikan penyataan atau maklumat yang tidak mengelirukan bagi setiap pinjaman yang dibuat.
(b) Setiap perjanjian pinjaman hendaklah menggunakan borang pinjaman yang ditetapkan oleh di bawah Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Pelesenan) 2003 iaitu Jadual J (pinjaman tanpa cagaran) atau Jadual K (pinjaman bercagar).
(c) Peminjam berhak untuk diberikan satu (1) salinan perjanjian secara percuma. Peminjam juga hendaklah mendapatkan resit bayaran bagi setiap bayaran balik pinjaman yang dibuat.
(d) Peminjam hendaklah mendapatkan resit bayaran bagi setiap bayaran balik pinjaman yang dibuat.
(e) Peminjam turut diingatkan supaya tidak menandatangani borang perjanjian yang kosong.
(f) Sebarang transaksi pembayaran pinjaman hendaklah diterima selepas perjanjian diisi penuh, dimatikan setem dan pembayaran dibuat di premis Pemberi Pinjam Wang yang berkenaan.
3. Berapakah kadar faedah yang dikenakan bagi setiap pinjaman?
(a) Kadar faedah bagi pinjaman bercagar hendaklah tidak melebihi 12% setahun.
(b) Kadar faedah pinjaman tidak bercagar hendaklah tidak melebihi 18% setahun.
4. Bagaimana saya hendak tahu samada sesebuah syarikat itu mempunyai lesen sah sebagai Pemberi Pinjam Wang/ Kredit Komuniti atau tidak?
Orang awam boleh membuat semakan melalui aplikasi i-KrediKom yang dilancarkan pada 5 April 2019. Aplikasi tersebut boleh dimuat turun ke telefon pintar melalui Google Play Store ataupun App Store.
5. Apakah butir-butir yang akan ditunjukkan pada lesen tersebut?
(a) Nama individu, syarikat atau firma Pemberi Pinjam Wang;
(b) Alamat berdaftar pemohon lesen;
(c) Alamat operasi perniagaan Pemberi Pinjam Wang yang diluluskan;
(d) Syarat-syarat yang dikenakan oleh Pendaftar;
(e) Nombor lesen;
(f) Tarikh sah mula lesen;
(g) Tarikh sah tamat tempoh lesen; dan
(h) Tandatangan Pendaftar/ Timbalan Pendaftar yang meluluskan pengeluaran lesen tersebut.
6. Mengapakah perjanjian pinjaman perlu diakusaksi?
(a) Mengikut peruntukan Seksyen 27, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400], setiap perjanjian memberi pinjam wang hendaklah diakusaksi di hadapan seorang Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi, seorang pegawai dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, Pesuruhjaya Sumpah, Jaksa Pendamai, Pegawai Daerah atau orang-orang yang dilantik oleh Menteri untuk berbuat sedemikian.
(b) Pengakusaksi bertanggungjawab untuk menerangkan terma-terma akan perjanjian memberi pinjam wang kepada peminjam dan hendaklah mengesahkan pada perjanjian tersebut bahawa peminjam tersebut telah memahami maksud terma-terma dalam perjanjian itu.
(c) Perjanjian pinjaman yang tidak diakusaksi dengan betul boleh menyebabkan perjanjian tersebut terbatal, tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
7. Bolehkah seseorang Pemberi Pinjam Wang mengenakan kadar faedah suatu jumlah yang melebihi jumlah pokok?
Tidak boleh, kecuali dengan perintah Mahkamah setelah mengambil kira keadaan pinjaman tersebut selaras dengan Subseksyen 17A(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400].
8. Apakah bentuk bayaran yang boleh dikenakan kepada saya oleh Pemberi Pinjam Wang semasa memohon pinjaman daripada mereka?
Mengikut peruntukan Seksyen 23 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400], bayaran kos pinjaman yang boleh dikenakan oleh seseorang Pemberi Pinjam Wang kepada peminjam adalah:
(a) Fee duti setem yang perlu dibayar di sisi undang-undang;
(b) Kos-kos guaman yang berhubung dengan rundingan pemberi pinjaman; atau
(c) Jika terdapat apa-apa kos, caj-caj, atau perbelanjaan sedemikian selain daripada tersebut di atas, jumlah tersebut hendaklah boleh didapatkan balik sebagai suatu hutang yang kena dibayar kepada peminjam atau ditolak terhadap jumlah hutang sebenarnya.
9. Bolehkah seseorang Pemberi Pinjam Wang atau wakilnya datang menuntut hutang ansuran pinjaman mereka di alamat kediaman saya, pejabat atau mana-mana lain tempat?
(a) Pemberi Pinjam Wang atau wakilnya tidak dibenarkan sama sekali datang ke rumah peminjam atau pejabat atau lain-lain tempat selain daripada di alamat operasi perniagaannya yang diluluskan sahaja bagi tujuan mengutip bayaran ansuran.
(b) Jika didapati Pemberi Pinjam Wang atau wakilnya berbuat demikian dengan cara mengganggu atau mengugut peminjam atau keluarga peminjam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400], iaitu boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 tetapi tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, dan dalam kes kedua atau berturutan boleh dikenakan dengan sebatan sebagai tambahan hukuman.
10. Apakah tindakan yang boleh diambil ke atas saya jika saya lewat menjelaskan ansuran hutang?
Seperti yang terkandung di dalam perjanjian pinjaman di bawah tajuk “keingkaran’, Pemberi Pinjam Wang berhak mengenakan faedah ringan atas kadar 8% setahun dari jumlah pokok dan faedah yang tertunggak dikira hari ke hari sehinggalah jumlah tersebut dijelaskan sepenuhnya.
11. Apakah tindakan yang boleh diambil ke atas saya jika gagal menjelaskan hutang kepada Pemberi Pinjam Wang?
(a) Mengikut perjanjian pinjaman di bawah tajuk “hak tindakan”, jika peminjam gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh 28 hari selepas tempoh genap tarikh bayaran ansuran atau melakukan perbuatan kebankrapan secara terpaksa atau sukarela, Pemberi Pinjam Wang berhak untuk menamatkan perjanjian itu;
(b) Pemberi Pinjam Wang dikehendaki memberi notis 14 hari bagi tujuan menamatkan perjanjian itu dan;
(c) Jika dalam tempoh tersebut peminjam tidak dapat juga menjelaskan hutangnya, perjanjian itu terbatal dan;
(d) Tindakan menuntut baki jumlah hutang termasuk faedah serta lain-lain kos guaman dan mahkamah akan dituntut oleh pihak Pemberi Pinjam Wang di Mahkamah; dan
(e) Jika pinjaman bercagar, Pemberi Pinjam Wang berhak ke atas cagaran tersebut mengikut proses undang-undang.
12. Bolehkah saya menyemak rekod akaun lejar pinjaman saya dengan Pemberi Pinjam Wang?
(a) Ya, boleh.
(b) Mengikut Seksyen 18 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400], Pemberi Pinjam Wang diwajibkan menyimpan satu buku akaun yang ditetapkan bagi setiap transaksi pinjaman pelanggan yang mengandungi butir-butir lengkap pinjaman dan jadual pembayaran balik.
(c) Jika Pemberi Pinjam Wang terbabit gagal berbuat demikian telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen ini yang boleh dihukum denda RM10,000, atau dalam keadaan kesalahan berterusan, dikenakan denda tidak melebihi RM1000 sehari atau bahagian hari ketika mana kesalahan itu dilakukan.
(d) Di bawah Seksyen 19 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400], peminjam atau melalui wakilnya berhak dengan secara bertulis untuk mendapatkan penyata akaun dalam angka-angka inggeris yang ditandatangan oleh Pemberi Pinjam Wang menunjukkan butir-butir pinjaman dan ansuran lengkap (dalam bentuk jadual pertama seperti dalam perjanjian pinjaman) dan peminjam perlu membuat bayaran minima bagi tujuan ini.
13. Adakah saya boleh mengenal pasti mana-mana perniagaan Pemberi Pinjam Wang berlesen melalui iklan?
(a) Ya.
(b) Mana-mana orang yang ingin membuat iklan berbentuk perniagaan sebagai Pemberi Pinjam Wang dimestikan mendapat permit iklan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan.
(c) Jika gagal mendapatkan permit telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] yang boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.
14. Bagaimana saya hendak membezakan antara Pemberi Pinjam Wang yang berlesen dan tidak berlesen melalui iklan?
Mengikut Peraturan 8 Peraturan-peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Pelesenan) 2003, setiap iklan samada dalam bentuk papan iklan, banner atau kad mesti mengandungi butir-butir berikut:
(a) Nombor lesen Pemberi Pinjam Wang dan tarikh pengesahannya;
(b) Nombor permit iklan;
(c) Nama, alamat dan nombor telefon Pemberi Pinjam Wang berlesen; dan
(d) Kadar faedah yang ditawarkan.
15. Apakah cara-cara lain untuk saya mengenalpasti samada sesuatu premis itu menjalankan perniagaan Pemberi Pinjam Wang secara sah?
Semakan boleh dibuat melalui Portal Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di alamat http://www.kpkt.gov.my atau boleh berhubung terus melalui talian telefon 03-8000 8000, atau datang sendiri ke Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
16. Adakah apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Pemberi Pinjam Wang berlesen yang tidak mengikut peraturan pinjaman wang?
(a) Perniagaan sebagai Pemberi Pinjam Wang adalah di bawah peruntukan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] di mana setiap pengusaha Pemberi Pinjam Wang dikehendaki mematuhi segala peraturan dan kehendak-kehendak Akta 400.
(b) Sebarang ketidakpatuhan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] mengikut kesalahan-kesalahan yang dilakukan di samping akan menyebabkan perjanjian pinjaman itu terbatal, tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
17. Apakah perbezaan antara Pemberi Pinjam Wang berlesen dan tidak berlesen (Ah Long)?
Bil. | Pemberi Pinjam Wang Berlesen | Ah Long |
---|---|---|
1. | Perjanjian pinjaman mengikut borang yang ditetapkan oleh Peraturan. | Perjanjian dan terma pinjaman mengikut selera Ah Long yang kebanyakan dibuat secara lisan dan tiada perjanjian bertulis. |
2. | Kadar faedah ditetapkan tidak melebihi 12% setahun bagi pinjaman bercagar dan tidak melebihi 18% setahun bagi pinjaman tanpa cagaran. | Kadar faedah berubah mengikut kehendak Ah Long yang boleh mencecah sehingga 50 peratus sebulan mengikut keadaan permohonan pinjaman. |
3. | Kadar faedah ringan atau denda lewat bayar ansuran bulanan sangat minimum iaitu pada kadar 8% setahun dikira daripada hari ke hari tarikh keingkaran bayaran balik bagi amaun jumlah ansuran. | Mengenakan denda lewat bayar yang sangat tinggi serta menetapkan tempoh yang pendek untuk menyelesaikan bayaran ansuran tertunggak dan jika gagal akan dikenakan denda berlipat ganda. |
4. | Keingkaran peminjam untuk membayar balik hutang hanya boleh diperolehi melalui tuntutan sivil di mahkamah sahaja. | Ah Long akan menggunakan kekerasan terhadap peminjam yang ingkar bagi mendapatkan balik pinjaman mereka kerana mereka tidak boleh membuat tuntutan sivil. |
5. | Setiap transaksi pinjaman wang hanya boleh dilakukan di alamat premis yang diluluskan sahaja. | Tidak mempunyai alamat tetap dan transaksi pinjaman biasa dilakukan di alamat atau tempat-tempat yang tidak tetap. |
6. | PPW perlu menghantar rekod transaksi tahunan kepada KPKT. | Tiada sebarang laporan transaksi pinjaman yang dikemukakan kepada KPKT. |
18. Apakah implikasi kontrak atau perjanjian yang dibuat oleh Pemberi Pinjam Wang tidak berlesen?
Selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 15 Akta 400, kontrak atau perjanjian memberi pinjam wang oleh Pemberi Pinjam Wang yang tidak berlesen adalah tidak boleh dikuatkuasakan.
AKTIVITI PEMEGANG PAJAK GADAI (PPG)
1. Dimanakah pengguna boleh membuat aduan berkenaan aktiviti Pemegang Pajak Gadai?
Sebarang aduan berkaitan Pemegang Pajak Gadai berlesen boleh dikemukakan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman web https://kpkt.spab.gov.my atau pengadu boleh hadir ke Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKK), KPKT, Aras 22, No. 51, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya.
Bagi Pemegang Pajak Gadai tanpa lesen, aduan berkenaan dengan perkara tersebut boleh dikemukakan terus kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
2. Apakah hak-hak pemajak?
(a) Seseorang pemajak gadai berhak kepada sesalinan surat pajak gadai semasa pemajakgadaian. Jika hilang, sesalinan catatan dalam buku pemegang pajak gadai boleh diberikan secara percuma.
(b) Kadar keuntungan ialah 2% sebulan atau sebahagian daripadanya campur caj pengendalian sebanyak lima puluh sen bagi mana-mana pinjaman yang melebihi sepuluh ringgit.
(c) Jika mana-mana sandaran hilang atau musnah disebabkan kebakaran, kecuaian, tinggalan, kecurian, rompakan dan sebagainya, maka amaun pampasan adalah satu per empat lebih daripada jumlah pajakan. Mana-mana sandaran hendaklah ditebus dalam masa 6 bulan dari tarikh pemajakgadaian atau dalam masa yang lebih panjang sebagaimana yang dipersetujui antara Pemegang Pajak Gadai dengan pemajak.
(d) Seseorang pemajak berhak kepada perlanjutan masa yang tidak kurang daripada 3 bulan pada satu-satu masa apabila bayaran amaun keuntungan yang perlu dibayar ke atas sandaran.
(e) Seseorang pemajak berhak pada bila-bila masa dalam tempoh 4 bulan selepas lelongan untuk memeriksa catatan jualan dalam buku pemegang pajak gadai dan laporan pelelong.
(f) Pemajak berhak, atas permintaan, kepada apa-apa wang lebihan selepas pemotongan kepada keuntungan yang kena dibayar ke atas sandaran itu dan kos lelongan.
3. Berapakah kadar faedah pajakan yang dikenakan?
Kadar faedah pajakan adalah tidak melebihi 2% sebulan bagi tempoh 6 bulan atau suatu tempoh yang telah dipersetujui.
4. Bagaimana pemajak boleh membuat tuntutan sekiranya terdapat lebihan lelongan?
Pemegang Pajak Gadai hendaklah menghantar penyata jualan (Jadual M) kepada pemajak bagi memaklumkan perihal sandaran yang telah dilepaskan melalui lelongan awam. Dalam tempoh 4 bulan selepas tarikh jualan, pemajak boleh membuat tuntutan lebihan lelongan tersebut daripada Pemegang Pajak Gadai.
5. Bolehkah saya menebus kembali setelah barang gadaian saya telah dilelong?
Anda boleh menebus kembali jika dipersetujui oleh Pemegang Pajak Gadai dengan apa-apa bayaran dikenakan kerana setelah lelongan dibuat bahawa anda tidak lagi mempunyai hak ke atas barang tersebut.
6. Bolehkah pihak Pemegang Pajak Gadai melepaskan barang gadaian apabila ditebus oleh pihak ketiga?
Boleh, dengan mengemukakan surat pajak barangan tersebut.
7. Apakah perbezaan antara Pemegang Pajak Gadai berlesen dan tidak berlesen?
Bil. | Pemegang Pajak Gadai Berlesen | Pemegang Pajak Gadai Haram |
---|---|---|
1. | Surat Pajak Gadai mengikut borang yang ditetapkan dengan terma yang sah daripada segi undang-undang. | Perjanjian dan terma-terma pajakan kebanyakannya tidak tetap dan hanya mengikut kehendak syarikat. |
2. | Kadar untung ialah 2% sebulan atau sebahagian daripadanya campur caj pengendalian 50 sen bagi pinjaman melebihi RM10. | Kadar keuntungan melebihi 2% sebulan dan tidak tetap mengikut kehendak syarikat. |
3. | Tempoh pemajakgadaian adalah selama 6 bulan atau suatu tempoh yang lebih lama mengikut persetujuan. | Tempoh pemajakgadaian lebih pendek dan tidak tetap mengikut kehendak syarikat. |
4. | Barang sandaran disimpan di premis yang dilesenkan dengan tahap keselamatan yang tinggi dan diinsuranskan. | Barang sandaran tidak disimpan di premis yang menjalankan urusan pemajakgadaian. |
5. | Bagi pinjaman melebihi RM200, barang sandaran yang tidak ditebus akan dilupuskan melalui lelongan dan hasil lelongan akan dikembalikan kepada pemajak sekiranya ada lebihan. | Barang sandaran yang tidak ditebus dalam tempohnya akan dilupuskan mengikut kehendak syarikat. |
6. | Pemegang Pajak Gadai perlu menghantar rekod transaksi tahunan kepada KPKT. | Tiada sebarang laporan pemajakgadaian yang dikemukakan kepada KPKT. |
7. | Menggunakan papan tanda “Pemegang Pajak Gadai Berlesen”. | Penggunaan papan tanda yang tidak tetap seperti “Beli Surat Pajak”, “Upah Simpan”, dan “Beli Barang Kemas”. |
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Bahagian Kawalan Kredit Komuniti,
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Aras 22, No.51, Persiaran Perdana
Presint 4, 62100 Putrajaya
emel:bkkk@kpkt.gov.my